Artikel Kesihatan. Kemaskini setiap minggu.

Kurus Di Luar Gemuk Di Dalam: Perhatian Kepada Si Kurus

Obesiti (Kegemukan) hampir secara totalnya dikenalpasti melalui ukuran BMI (Body Mass Index). Nilai BMI juga digunakan dalam perubatan dalam mengukur risiko terhadap sakit jantung dan penyakit kronik yang lain. Semakin tinggi nilai BMI anda, semakin tinggi risiko anda. Anda dikira berat berlebihan jika BMI 25-29 dan dikira gemuk/obes jika BMI lebih dari 30. Walaupun BMI dikira berdasarkan berat dan tinggi, BMI tidak dikira secara tepat, tidak membezakan antara otot dan lemak dalam badan.

1. Lemak Dalam Badan
Seorang atlet mungkin mempunyai BMI yang tinggi berbanding manusia lain yang sama saiz kerana otot secara relatifnya lebih berat berbanding lemak dalam badan. BMI tidak semestinya bagus bagi mengukur risiko kesihatan di kalangan orang berumur/senior kerana orang berumur selalunya hilang berat badan hanya melalui pengurangan otot dan jisim tulang berbanding lemak. Hasil Lancet 2006 pula membuktikan bahawa kajian terhadap 0.25 juta responden menunjukkan mereka yang mempunyai BMI rendah biasanya menghadapi risiko lebih tinggi terhadap sakit jantung berbanding orang gemuk.

Kajian yang diketuai oleh Dr. Jimmy Bell (molecular imaging group, Imperial College London) pula membuktikan orang kurus tetapi 'gemuk di dalam' juga mempunyai risiko yang hampir sama terhadap penyakit seperti orang yang fizikalnya kelihatan gemuk. Sekumpulan doktor ini yang melakukan pemetaan lemak dalam badan mengesahkan bahawa sebahagian kita, terutamanya yang kurus, menyimpan lemak di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di dalam dan sekitar buah pinggang, pankreas dan jantung. Hasil ini berlaku berkadaran dengan tabiat semasa pengguna yang gemar menurunkan berat badan melalui diet dan pemilihan bahan makanan berbanding teknik lama, bersenam bagi membakar lemak. Sekitar 45% dari mereka yang mempunyai BMI 20-25 sebenarnya memiliki kandungan lemak dalam badan yang berlebihan, dan 60% lelaki yang ideal BMI, menghidapi keadaan berlebihan lemak ini.

Tanpa petunjuk yang jelas, pengguna dibimbangi terus terperangkap dengan pemikiran: oleh kerana mereka kurus, mereka menganggap diri mereka cukup sihat. Dr. Louis Teichholz menyatakan disebabkan anda memiliki badan tinggi lampai tidak bermakna anda cukup sihat sehingga boleh mengaku anda imun terhadap diabetes mahupun penyakit berkaitan jantung. Keseluruhan konsep terhadap 'kegemukan' harus dirombak semula.

2. Gemuk Dari Dalam
Mereka yang gemuk dari dalam sebenarnya berisiko untuk menjadi gemuk dengan pantas. Benar mereka kurus, namun ini hanyalah kerana lemak terkumpul masih boleh disorok badan, dan kebiasaan mereka yang kurus untuk makan secara tidak sihat adalah tinggi (makanan berlemak dan tinggi gula), menunggu masa sebelum badan mula mengumpul lemak berlebihan di sekitar perut seterusnya gemuk seluruh badan.

Dikenali sebagai golongan "Tofi" - thin outside, fat inside.

3. Badan Slim Tetapi Tidak Sihat
Masih tidak dapat dipastikan tentang risiko sebenar lemak berlebihan yang tidak nampak ini (internal fat), namun teori yang lazim digunapakai adalah lemak dalaman ini mengganggu sistem komunikasi badan. Lemak dalaman ini terkumpul dan menyalut/membungkus organ dalaman menyebabkan badan tersalah hantar arahan kimia bagi mengumpul lemak ke tempat tidak sepatutnya seperti dalam hati dan pankreas seterusnya menggagalkan keberkesanan insulin, meningkatkan risiko berlakunya diabetes jenis 2 dan serangan jantung.

Dengan ini boleh dianggap mereka yang gemuk dan aktif adalah lebih sihat berbanding mereka yang kurus tetapi kurang bergerak. Mereka yang mempunyai berat badan normal namun tidak aktif, tidak fit berhadapan risiko kematian lebih tinggi berbanding orang gemuk yang aktif dan fit. Ini boleh dilihat pada ahli gusti sumo yang memiliki kadar metabolisme lebih baik berbanding kita penonton bersaiz normal kerana mereka hanya menyimpan lemak dibawah kulit sahaja, bukan di sekeliling organ kritikal dan otot.

4. Berita Baik
Penyelesaian terhadap masalah kegemukan dalaman ini boleh diatasi dengan mudah dengan bersenam ataupun meningkatkan kualiti diet seharian. Jika anda hanya mahu kelihatan kurus, kurangkan lemak semata-mata mungkin mencukupi, tetapi jika anda mahu kurus dan sihat, tiada jalan pintas, banyakkan bergerak, gunakan badan anda untuk melakukan senaman.

5. Kebaikan Senaman
Pakar menyatakan senaman 20 minit satu sesi, tiga kali seminggu adalah mencukupi untuk mengurangkan 60% risiko serangan berkaitan jantung sehingga.
- Senaman yang berkesan bukan sahaja membuat anda rasa sihat, juga meningkatkan tona otot, pergerakan darah yang lebih lancar, juga memberi jantung dan paru-paru yang lebih efektif.
- meningkatkan stamina/fit.
- meningkatkan ketahanan psikologi/mental dalam mengharungi stress secara lebih baik, meningkatkan motivasi dan keyakinan diri ke tahap yang lebih baik.

Busy? Kurangkan penggunaan kenderaan, berbasikal jika boleh. Juga selalu cari tangga sebagai alternatif berbanding hanya menggunakan lif sepanjang naik turun bangunan. Juga banyakkan minum air kosong.

Mereka yang mementingkan kesihatan bukan hanya perlu menjaga pemakanan, malah perlu memasukkan senaman sebagai rutin hidup, bagi menjaga kecantikan dan kesihatan dari dalam ke luar badan.